Nazmi Faiz Minta Maaf Tumbuk Kapten Qatar | Bintang bola sepak yang kini sedang mencipta nama di Eropah berdepan dengan kawalan emosi. Kejadian ini berlaku melibatkan penyerang utama Harimau Muda iaitu MuhammadNazmi Faiz Mansor mengakui gagal mengawal emosi ketika aksi perlawanan persahabatan menentang skuad bawah 22 tahun Qatar di Stadium Shah Alam. Insiden yang menyaksikan pemain SC Biera-Mar itu dilayangkan kad merah pada minit ke-40 selepas berang dengan Kapten Qatar, Abdelkarim Hassan Fadlalla yang mengasari rakan sepasukan, Mohd. Azrif Nasrulhaq.
Nazmi Faiz yang bakal berusia 18 tahun pada 17 Ogos depan meluru ke arah pemain tersebut dan melepaskan tumbukan ke atas Abdelkarim yang menyebabkan pengadil perlawanan mengarahkannya keluar dari padang.
Dalam pada itu, Nazmi memohon maaf kepada para peminat dan menegaskan insiden tadi tiada kena-mengena dengan kisah peribadi sambil mengakui gagal mengawal emosi.
“Terus-terang saya beritahu kenapa saya hilang sabar. Saya tidak tahu. Apapun ia tidak mengganggu konsentrasi saya dan tidak mengambil peduli mengenai kisah peribadi saya,” jelas Nazmi kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan.
Nazmi juga memberitahu, dia berjanji untuk bertindak dengan lebih matang sambil menegaskan tidak akan menghadapi masalah untuk memberikan tumpuan penuhmenjelang kelayakan Piala AFC pada 21 Jun ini.
Sementara itu, pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menasihatkan Nazmi supaya bertindak lebih profesional dan matang.
Dalam masa yang sama, pengendali yang berasal dari Melaka itu berpendapat faktor usia yang begitu muda yang menyebabkan dia bertindak sedemikian.
“Dia masih muda. Perasaan marah itu memang biasa dalam usia sebegini. Saya nasihatkan agar dia mengawal emosinya dan bertindak lebih matang di masa akan datang,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Kim Swee berkata bahawa pasukannya sudah bersedia untuk mengharungi saingan kelayakan Piala AFC di Myanmar.
Malaysia diundi dalam Kumpulan G pada aksi kelayakan Piala AFC bawah 22 bersama-sama Korea Selatan, Taiwan, Filipina, Vietnam dan Myanmar.
Melayukini.net - Biasalah dara anak muda memang mudah panas. Namun Nazmi Faiz Mansor harus mencerminkan watak sebagai seorang pemain bola yang profesional jika mahu bertahan dalam industri bola sepak ini. Sesungguhnya sabar itu sebahagian daripada iman.
Post a Comment