ALOR STAR: Seorang nenek berusia 70-an terkejut dan hampir pitam apabila mendapati seorang lelaki dalam keadaan bogel bersembunyi di bawah katilnya ketika dia tidur di rumahnya di Kampung Bukit Cekoh, di Langkawi, awal pagi kelmarin.
Warga emas itu hanya menyedarinya selepas sepasukan anggota penguat kuasa agama membuat pemeriksaan di rumahnya kira-kira jam 1 pagi.
Lelaki berbogel itu yang juga seorang warga Indonesia berusia 40-an itu dipercayai masuk ke rumah warga emas itu melalui celah lubang tandas selepas melarikan diri daripada anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal) yang membuat pemeriksaan di rumah teman wanitanya yang terletak bersebelahan rumah berkenaan.
Ketua Operasi Padal, Saiful Aswad Kasa, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan maksiat membabitkan pasangan itu kira-kira jam 1 pagi dan bergegas ke lokasi untuk membuat pemeriksaan bersama empat anggotanya dan dua anggota polis.
Beliau berkata, sebaik tiba di kawasan itu, pihaknya mendapati sebuah rumah yang disyaki berada dalam keadaan tertutup dan berkunci dari dalam serta gelap.
“Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita warga Indonesia berusia 38 tahun yang memakai kemeja-T dan berkain batik membuka pintu rumah dan berpura-pura bertanya tujuan kedatangan kami ke rumah itu.
“Kami kemudian meminta kebenaran untuk membuat pemeriksaan di rumah terbabit dan wanita itu membenarkan kami berbuat demikian dengan alasan hanya dia yang berada di rumah itu.
“Namun, sebaik hendak melangkah masuk, seorang anggota kami ternampak kelibat seorang lelaki melarikan diri melalui celah lubang bilik air di sebelah rumah menyebabkan mereka terpaksa mengetuk pintu rumah sebelah yang didiami nenek berkenaan untuk meminta bantuan,” katanya, semalam.
Saiful Aswad berkata, warga emas itu kemudian membuka pintu dan terpinga-pinga apabila melihat kehadiran penguat kuasa Padal serta anggota polis ke rumahnya pada awal pagi kerana dia tinggal seorang diri.
Beliau berkata, selepas diberitahu tujuan mereka, nenek berkenaan membenarkan rumahnya diperiksa dan terkejut apabila mendapati seorang lelaki berbogel bersembunyi di bawah katilnya di dalam bilik tidur rumah itu dalam keadaan ketakutan.
“Kami terpaksa mengambil tuala di dalam bilik nenek itu dan menyuruh lelaki itu menutup badannya sebelum membawanya ke rumah teman wanitanya untuk siasatan lanjut.
“Pasangan itu akhirnya mengaku bersekedudukan sejak sekian lama selepas gagal menunjukkan sijil pernikahan,” katanya.
Menurutnya, wanita itu mendakwa baru bercerai tiga bulan lalu dan mempunyai dua anak bersama bekas suaminya yang kini berusia sekitar lima dan enam tahun yang menetap di Indonesia.
Katanya, pasangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuah, Langkawi untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat Padal untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. – H.Metro
Post a Comment