Tuesday 3 April 2012

Vanilla Coklat Catat ‘Rating’ 4.5 Juta

EPISOD terakhir Vanila Coklat yang diterajui bintang muda, Izara Aishah dan Aiman Hakim Ridza, disiarkan jam 9 malam Selasa lalu, mencatat rating 4.5 juta penonton.
Berbanding minggu sebelumnya, 3.2 juta penonton, pencapaian episod akhir drama bersiri 13 episod terbitan Asia Media Content arahan Emi Suffian Sabhe itu menyamai pencapaian siri Cinta Elysa, turut ditayangkan menerusi slot Lestrary.
Apa yang menarik, sempena penayangan episod akhir drama itu, pihak TV3 mengajak peminat setia Vanila Coklat untuk menyaksikannya di skrin besar secara terbuka di Restoran Rasta Taman Tun Dr Ismail.
Kegilaan penonton pada Vanila Coklat jelas dapat dilihat dengan kehadiran 300 peminat. Meskipun pada Selasa lalu hujan berlarutan hingga ke malam, ia bukanlah halangan untuk pencinta Vanila Coklat hadir memberi sokongan biarpun sebahagian daripada mereka basah kuyup.
Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, tayangan secara terbuka itu tanda penghargaan TV3 atas sokongan yang diberikan peminat Vanila Coklat, sekali gus meraikan penonton setia slot Lestary.
“Sambutan drama yang disiarkan menerusi Slot Lestary cukup membanggakan TV3 dengan pencapaian rating yang ada kalanya di luar jangkaan kami. Hampir setiap drama mencapai purata penonton 3 juta ke atas dan ini membuktikan slot Lestary mempunyai ‘base’ peminat yang kuat.
“Oleh kerana itu, majlis tayangan episod akhir Vanila Coklat bersama peminat diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami kepada peminat. Memang tidak dinafikan, sejak dulu lagi, sokongan yang diberikan penonton setia TV3 memacu kejayaan kami.
“Jujur saya katakan tidak pernah menyangka sambutan yang diberikan hari ini cukup meriah sekali memandangkan kebelakangan ini, cuaca kurang baik dan hujan hampir sepanjang masa. Saya juga terkejut apabila dengan reaksi peminat sebaik melihat kemunculan Izara dan Aiman kerana saya tidak begitu tahu yang mereka ini sangat popular.
“Kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap produksi yang bekerjasama dengan kami kerana sentiasa membekalkan drama menarik dan berkualiti untuk tontonan penonton setia TV3,” katanya.
Sekadar mengimbas drama Vanila Coklat me�ngisahkan seorang pelajar Zara, 19 tahun dan Aamir, 20, yang saling membenci antara satu sama lain, tetapi dipaksa berkahwin. Atas permintaan keluarga, mereka akur, tetapi menetapkan perjanjian selepas enam bulan berkahwin mereka bercerai.
Zara mempunyai kekasih hati iaitu Kamal (Iqram Dinzly), yang dikenalinya sejak sekolah menengah lagi. Ibu bapa Zara, Dr Ungku Musa dan isteri tidak menyukai Kamal, begitu juga ibu bapa Aamir, Datuk Ahmad dan Datin Dalila yang kurang menggemari sikap Liana (Bella Daly) kerana tidak menghormati orang tua.
Pertengkaran akhirnya membibitkan perasaan cinta di hati Zara dan Amir.
Bagaimanapun, dendam lama menggugat hubungan bapa mereka sehingga berdepan dengan perceraian sebelum akhirnya bersatu sebagai keluarga yang harmoni.
Selain Izara, Aiman, Iqram dan Bella, drama ini turut di bintangi pelakon hebat dan berpengalaman seperti Liza Abdullah, Zuhairi Ibrahim, Arash Mohd, Emma Akma dan Fazlina Ahmad Daud.
Izara, bekas naib juara Dewi Remaja 2009/2010, berasa sungguh terharu
dengan sambutan yang diberikan peminat pada acara santai itu.
“Sebelum ke sini, saya memenuhi undangan starchat anjuran portal gua.com dan saya fikirkan mungkin tidak ramai orang, kebetulan saya sendiri tiba lewat di Rasta.
“Bagaimanapun, keadaan sebaliknya daripada apa yang saya bayangkan. Dari jauh, saya lihat lokasi majlis tayangan akhir Vanila Coklat diadakan sesak dengan orang dan tambah mengejutkan sebaik turun dari kereta, peminat mula menjerit-jerit.
“Terus terang saya tidak pernah menyangka sambutan terhadap Vanila Coklat sehebat ini, apatah lagi saya dan Aiman, kedua-duanya yang menerajui drama ini sebagai pelakon utama masih baru dalam bidang lakonan. Saya juga berbangga apabila dimaklumkan rating untuk tayangan episod akhir Vanila Coklat mencecah 4.5 juta penonton.
“Kejayaan drama ini memberi semangat dan inspirasi kepada saya untuk menggilap lakonan dan menjadi pelakon versatil suatu hari ini,” katanya yang dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011).
Tidak hanya rating untuk drama Vanila Coklat, bahkan segmen starchat yang diadakan di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, sebelum majlis itu bermula meraih 15,047 pelayar Internet kurang daripada satu jam ia dimulakan.
Sementara itu, Aiman yang ditemui selepas tayangan itu setuju dengan pendapat Izara, malah dia juga tidak menyangka sambutan diberikan peminat terhadap drama berkenaan sungguh luar biasa dan bersyukur dengan kejayaannya.
“Sewaktu menjayakan penggambaran drama ini, kami memang ‘enjoy’ kerana bekerja dalam suasana keluarga. Vanila Coklat antara drama terawal saya lakonkan dan memang pada mulanya saya gementar apabila diberikan watak utama.
“Selain itu, saya juga runsing jika sambutan drama ini gagal kerana pelakon utama lelaki tidak popular. Masakan tidak, bidang lakonan bukan saja satu pengalaman baru buat saya tetapi juga sebelum ini orang lebih mengenali Aiman sebagai penyanyi.
“Mujurlah pelakon senior yang terbabit sering memberikan tunjuk ajar untuk menjadi pelakon yang baik,” katanya.
Emi Suffian Sabhe selaku pengarah, bagaimanapun tidak dapat hadir malam itu, namun menyatakan kegembiraannya sebaik dimaklumkan rating episod akhir mencecah 4.5 juta. Difahamkan juga, Emi mempunyai perancangan untuk mengangkat naskhah itu ke layar lebar.
Menghangatkan lagi acara malam itu, persembahan pembuka tirai oleh Aepul daripada kumpulan Drama.
Pada malam yang sama, TV3 turut mengumumkan kekosongan Vanila Coklat bakal diisi drama terbaru iaitu 3 Janji bermula 20 Mac, setiap Selasa jam 9 malam.

About the Author

Anonymous

Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

Post a Comment

 
The Brightest Star © 2015 - Designed by Templateism.com