Showing posts with label Derhaka. Show all posts
Showing posts with label Derhaka. Show all posts

Wednesday, 6 June 2012

KULIM - “Kalau hang tak mahu pada orang tua ni, hang bunuh dia. Bagi aku tanam. Dia ni bapak hang,” antara ungkapan kecewa diluahkan penjaga seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun yang merupakan anak saudara kepada mangsa ketika berlaku pertengkaran di hadapan rumah anak perempuan mangsa di sini kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Kejadian berlaku apabila mangsa menyatakan hasrat untuk tinggal di rumah anak perempuan tunggalnya kerana setelah sekian lama dijaga adik-beradiknya.

Waris yang juga anak saudara mangsa buntu dan membawa mangsa ke Balai Polis Kulim apabila mangsa tidak mahu lagi tinggal di rumah mereka.

Seorang waris berkata, mangsa berada bersama keluarganya lebih 30 tahun lalu tetapi berhasrat untuk tinggal bersama anaknya di sebuah taman perumahan di sini dan untuk memenuhi hasratnya, mereka menghantar mangsa ke rumah anak kandungnya.

Menurutnya, sebelum menyerahkan mangsa kepada keluarganya, mereka meminta nasihat polis untuk mengiringi kerana khuatir berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Apabila tiba di rumah anak mangsa, polis terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum pintu rumah dibuka. Malang bagi mangsa apabila anaknya itu berpura-pura tidak mengenalinya.

“Perkara ini menimbulkan tidak puas hati dan kemarahan anak saudara mangsa dan berlaku pertengkaran mulut. Anak mangsa terus mendesak supaya bapanya itu tidak ditinggalkan di rumahnya kerana dia tidak mahu menjaganya,” katanya.

Waris mangsa berkata, sejak dulu lagi anak mangsa tidak pernah menjaga kebajikan bapanya itu sebaliknya segala tanggungjawab itu diberikan kepada keluarganya.

Katanya, memandangkan kasi­han­ dengan nasib menimpa mangsa, mereka setuju untuk menjaganya sejak 30 tahun lalu.

“Tok sudah tidak mahu tinggal bersama kami dan meminta kami menghantarnya ke rumah anak perempuannya. Kami semua sudah berkahwin tetapi masih boleh menjaganya. Seingat saya, sekarang saya sudah berusia 28 tahun. Sebelum itu pun tok sudah tinggal bersama kami. Sejak akhir-akhir ini, tok memberontak mungkin kerana dia nyanyuk.

“Dia sering mencederakan dirinya sendiri. Bagaimanapun kami terus menjaganya walaupun bersikap keanak-anakan. Memandangkan dia mahu tinggal bersama anak perempuannya maka kami setuju untuk menghantarnya ke sana. Malangnya anak tok enggan menerimanya,” katanya.

Sebelum itu, jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah anak mangsa memaklumkan kepada waris berkenaan bahawa bapanya telah meninggal dunia. Waris yang mendengar pengakuan dibuat jiran terpinga-pinga dan memperkenalkan kepada mereka bahawa warga emas itu merupakan bapanya.

Polis yang mengiringi waris mangsa kemudiannya memapah mangsa keluar dari kereta dan menunjukkan kepada anaknya, namun anaknya itu masih tidak membuka pintu pagar dan membenarkan bapanya masuk ke dalam rumah.

Atas sikap prihatin, polis meminta anak mangsa untuk memberikan kerusi kepada bapanya kerana mangsa tidak tahan berdiri lama kerana sudah tua.

Pertengkaran antara keluarga itu berterusan di mana anak mangsa tetap tidak membenarkan bapanya masuk ke rumah. Polis kemudiannya menasihatkan supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan secara aman kerana ini merupakan permasalahan keluarga.

Polis memaklumkan, anak mangsa datang ke Balai Polis Sungai Kob kira-kira jam 9 malam untuk mencari rumah sepupunya bertujuan menghantar mangsa kepada mereka.

Sinar Harian kemudiannya menghubungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dia mengarahkan supaya anak mangsa menyerahkan mangsa ke JKM sebelum dibawa ke mahkamah untuk arahan penempatan tinggal di rumah orang tua.

‘Dia ni bapak hang’, anak pura-pura tak kenal

Saturday, 2 June 2012

IPOH: ‘Cucu iblis’ gelaran layak diberi kepada seorang lelaki yang bukan saja gemar memanggil neneknya ‘babi’, malah kerap membelasah nenek dan datuknya yang lumpuh dengan niat mangsa mati cepat walaupun dia dibela sejak kecil hingga berumahtangga.

Lebih zalim, lelaki berusia 30-an dan bertugas di sebuah hospital di sini turut menggunakan kerusi plastik untuk membelasah datuknya berusia 85 tahun hingga tulang pergelangan tangannya retak.

“Hancur luluh hati makcik kerana bukan saja dilayan seperti hamba di rumah sendiri, malah dimaki hamun, termasuk dipanggil ‘babi’ jika lambat memasak atau melakukan perkara tidak disenanginya.

“Namun paling menyedihkan apabila cucu yang dibesarkan dan dibelai penuh kasih sayang seperti anak sendiri sejak kecil hingga dia berumahtangga, sanggup mendoakan supaya makcik ‘mampus cepat daripada terus menyusahkan hidupnya’,” kata Mariam Puteh Nekmat, 71.
Dalam keadaan sebak dan berlinangan air mata, Mariam berkata, dia tidak tahu apa dosa atau kenapa cucunya bersikap sedemikian dan masih tidak berubah walau sudah berumahtangga.

Katanya, beliau dan suami, Ahmad Idris, 85, tidak pernah berkasar, malah membela cucu mereka ibarat menatang minyak yang penuh sejak kecil hingga sanggup berhabis duit dan bergadai harta benda.

Menurutnya, segala kos sara hidup, termasuk perbelanjaan serta yuran persekolahan cahaya mata anak perempuan sulung mereka, ditanggung sepenuhnya oleh beliau dan suami.

“Saya pernah melakukan pelbagai kerja demi menampung pendapatan suami yang tak seberapa sebagai pekerja am rendah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memastikan dia hidup seperti kanak-kanak lain dan mendapat pendidikan secukupnya.

“Kehidupan kami semakin sukar sejak suami bersara kira-kira 22 tahun lalu apabila wang pencen yang diterimanya selepas ditolak semua hutang, hanya berbaki RM1.05,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Meru 2C, Jelapang, dekat sini, semalam.

Ketika ibu bapa lain mengharungi kehidupan selepas pencen dengan beristirehat dan mengharapkan anak menghulur wang perbelanjaan setiap bulan, Mariam dan suami masih terpaksa mengerah sisa kudrat bagi mengisi perut.

“Hidup saya semakin menderita apabila Ahmad ditimpa dua kemalangan berselang setahun kira-kira tiga tahun lalu, menyebabkan dia hilang upaya bergerak sejak dua setengah tahun lalu.

“Kemalangan itu menyebabkan tulang kaki kiri suami retak hingga terpaksa menjalani pembedahan memasukkan dua besi, dan kesihatan diri yang semakin uzur memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Namun baginya, penderitaan menanggung kesakitan itu masih boleh ditanggung berbanding layanan zalim cucunya.

Ahmad berkata, selepas mengadakan majlis perkahwinan di rumahnya, cucu dan isteri masih tinggal bersama mereka sebelum membuat keputusan mengejut keluar rumah kira-kira setahun lalu.

“Sejak saya tidak dapat bergerak dan terpaksa memakai lampin pakai buang, perangainya semakin zalim apabila menyepak terajang saya setiap kali anginnya tidak baik atau tidak puas hati dengan perkara remeh berlaku di rumah.,” katanya.

“Kali terakhir saya dibelasah teruk ialah sebelum dia keluar rumah apabila dihempuk dengan kerusi, menyebabkan pergelangan tangan kiri retak.

“Kecederaan mungkin bertambah teruk jika neneknya tidak memeluk saya dan menahan pukulan itu dengan belakang badannya,” katanya.

Mariam yang menghidap pelbagai jenis penyakit seperti jantung, darah tinggi, lelah dan kencing manis berkata, sejak keluar dari rumah, cucunya tidak pernah menjenguknya.

Difahamkan, pasangan itu yang mempunyai tiga anak perempuan kini tinggal sebatang kara di Persiaran 22, Taman Meru C, Jelapang dengan mengharapkan bantuan ikhsan orang ramai.

Cucu 'iblis' suka panggil neneknya 'babi' dan belasah datuknya yang lumpuh

 
The Brightest Star © 2015 - Designed by Templateism.com