Sunday 24 June 2012

Nora Danish - Nak 'all out' tahun ini

Nora Danish

SELEPAS beberapa kali jadual fotografi tertunda disebabkan masalah pertukaran jurusolek dan pakaian, akhirnya janji yang diikat bersama SELEBRITI hampir sebulan lalu berjaya dilunas.

Saat bertemu aktres, Nora Danish di pejabat pengurusan Metrowealth Sdn Bhd pada petang Jumaat, dua minggu lalu, Nora pantas melemparkan senyuman dan memohon maaf atas kelewatan yang tidak disengajakan.





“Saya minta maaf, pakaian untuk sesi fotografi hari ini rosak sikit. Terpaksa bergegas mendapatkan pakaian daripada pereka lain. Sebab itu lambat sampai,” jelas Nora.

Tanpa membuang masa, Nora terus mengenakan pakaian rekaan Hatta buat tatapan pembaca. Sesi fotografi juga berjalan lancar, malah bidikan lensa kamera juga selesa pada setiap aksi diberikan ibu tunggal ini.

“Ini kali pertama saya berdepan situasi seperti ini masalah pakaian, jurusolek dan jadual yang padat. Bukan sebab saya sengaja mengelak mengadakan sesi fotografi dan bertemu media. Sebagai artis, sesi fotografi sangat penting supaya peminat tahu kita masih aktif.

“Mengenai pertukaran jurusolek juga sama, sebenarnya tak ramai jurusolek boleh solek muka saya sebab wajah saya berbeza dengan orang lain,” katanya yang ditata rias solekan oleh Najeeb.

“Kalau boleh, saya nak sesi itu sempurna dan tidak menyusahkan semua pihak.
Bukan bermakna saya seorang ‘perfectionist’ yang sengaja mengelak perkara merumitkan.

“Peminat sekarang nak kita sempurna pada mata mereka, saya hanya manusia biasa dan masih perlu diingatkan antara satu sama lain,” katanya sebaik dilontar soalan apakah benar Nora dilabel artis cerewet dan cuba mengelak bertemu media.

Nora yang baru selesai penggambaran drama bersiri Kala Cinta Berwahyu terbitan Primeworks Studio untuk siaran Ramadan ini, nyata sibuk memenuhi jadual penggambaran lain yang membabitkan filem dan drama sebelum berehat pada bulan puasa.

Dek kesibukan itu dan tambahan masa yang perlu buat anak tersayang, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram yang semakin petah berbicara, Nora perlu korbankan beberapa perkara lain supaya masa yang tinggal dapat diluangkan bersama si kecil.

“Saya tidak banyak masa dengan Rayqal. Pulang daripada umrah bulan lalu, saya sempat bersama anak sekejap saja dan mendapat tawaran untuk projek drama bulan puasa dan telefilem raya. Masa terluang yang ada itulah saya nak habiskan masa bersama Rayqal.

“Rayqal sangat bijak dan banyak cakap. Kalau saya nak keluar, dia mula bertanya dan nak ikut. Kadangkala saya bawa Rayqal ke lokasi tapi jujurnya saya tidak mahu terlalu ketengahkan Rayqal kepada umum. Ia membabitkan faktor keselamatan.

“Masa sangat penting buat saya. Apabila bekerja, saya akan fokus sepenuhnya untuk bekerja dan bila ada masa terluang, masa itulah saya gunakan untuk anak,” kata ibu muda itu.

Sebagai selebriti yang 10 tahun bergelar anak seni, banyak pahit manis ditelan. Dek pengalaman melimpah ruah dilalui, Nora akui ia banyak mengubah dirinya menjadi lebih matang.

Masakan tidak, kontroversi demi kontroversi sering menghimpit janda muda ini.
Tak pernah kering dan sering berlabuh hinggakan segelintir artis yang mengalami situasi sama menjadi rimas dan mengatakan selamat tinggal kepada dunia seni.

Pada pertemuan ringkas petang itu tidak banyak perkara dibualkan, sekadar berkongsi cerita mengenai aktiviti terbaru aktres itu. Hinggalah tatkala SELEBRITI menyentuh aktiviti yang dirancang pada bulan puasa, terutama apabila Nora merancang melakukan umrah sekali lagi bersama keluarga.

“Namun bukan dengan Ady Putra ya!” pantas Nora memintas memberi jawapan sebelum SELEBRITI sempat bertanya. Seolah-olah tahu dia pasti akan dikaitkan dengan aktor itu sekali lagi, hanya sebab pernah mengerjakan umrah bersama sebulan lalu bersama sebuah agensi pelancongan.

Apatah lagi Nora bergandingan dengan Ady Putra dalam filem Aku Terima Nikahnya yang akan berada di layar lebar, Oktober depan. Selama mereka bergandingan banyak kisah tidak enak didengar, termasuk mengaitkan Nora dalam masalah rumah tangga yang menimpa Adi Putra, baru lalu.

Dalam tempoh itu, Nora banyak berdiam diri kerana tidak mahu memanjangkan cerita. Membiarkan tohmahan dan andaian tidak berasas itu berlalu pergi.
Walaupun sakit, ia mesti ditelan dan kuatkan langkah mencari pedoman.

Awal dulu, Nora berkata, dia selesa dengan Ady kerana kematang­an dan sikap profesional aktor itu dalam bidang lakonan. Nora juga bersyukur kerana pernah digandingkan dengan Ady yang dilihat sebagai abang yang banyak membantu.

Kini, Nora bakal bergandingan pula buat kali pertama dengan Shaheizy Sam dalam filem 2 Kalimah yang dalam penggambaran di Terengganu.

Filem bergenre pengajaran itu diarahkan Eryn Rahman, pengarah sama yang mengarah filem Aku Terima Nikahnya terbitan MIG Production.

“Sam antara aktor yang saya ingin digandingkan bersama, tak sangka peluang itu ada dalam filem ini. Selama ini saya hanya mendengar dan melihat kehebatan Sam dalam bidang lakonan. Kini saya dapat berkongsi dan merasainya serta memenuhi azam saya.

“Sam banyak berlakon filem dan sangat popular, malah menang banyak anugerah.
Saya pula masih baru dalam filem dan banyak perkara saya boleh belajar daripada Sam,” kata Nora.

Bercakap soal azam, Nora banyak berkongsi mengenai azam yang terlerai sejak mula menjejakkan kaki sebagai pelakon. Katanya, keazaman mesti selalu ditingkatkan, apatah lagi melihat perjalanan kerjaya seni yang bermula di kaca televisyen, dia hampir berbangga kerana menjejak ke layar lebar pula.

“Tahun lalu, saya pernah merancang nak buka kedai bunga sebab saya suka bunga, tapi bila dilihat pasaran yang tidak jelas dalam produk itu, saya rasa lebih baik saya jalankan bisnes berkaitan produk kecantikan.

“Itupun selepas saya banyak berbincang dengan keluarga dan kawan yang merasakan bisnes itu lebih cerah peluangnya sebagai sumber pendapatan. Insya-Allah jika tiada aral, mungkin tahun depan saya akan mula serius menjalankan bisnes kecantikan.

“Tahun ini saya nak ‘all-out’ sebab masa sangat jelas mencemburui kita. Saya ada ‘target’ tertentu pada umur tertentu,” kata Nora ringkas. - hmetro

About the Author

Anonymous

Author & Editor

Has laoreet percipitur ad. Vide interesset in mei, no his legimus verterem. Et nostrum imperdiet appellantur usu, mnesarchum referrentur id vim.

Post a Comment

 
The Brightest Star © 2015 - Designed by Templateism.com